PBB desak Israel henti serangan udara ke atas Syria

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyeru Israel agar menghentikan serangan udara ke atas Syria yang telah mengorbankan ramai mangsa.

Menurut jurucakap beliau, Guterres menyatakan kebimbangan terhadap ratusan serangan udara yang dilakukan dan menegaskan perlunya usaha segera untuk mengurangkan ketegangan di semua kawasan dalam negara itu.

“Setiausaha Agung (Antonio) sangat bimbang dengan ratusan serangan udara Israel ke atas Syria.

“Beliau menekankan keperluan mendesak untuk menamatkan keganasan di semua bahagian negara itu,” kata jurucakap PBB.

Sementara itu, Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat, Jake Sullivan mempertahankan tindakan Israel dengan menyatakan bahawa serangan tersebut bertujuan untuk menetralkan ancaman yang berpotensi mengancam keselamatan wilayah.

Dalam perkembangan berkaitan, Jordan akan menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak krisis mengenai Syria pada hujung minggu ini.

Pertemuan itu akan dihadiri oleh diplomat tertinggi dari Arab Saudi, Iraq, Lubnan, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Qatar, Turkiye, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU) dan PBB.

Memetik laporan AlJazeera, sidang kemuncak itu bertujuan untuk membincangkan langkah-langkah kolektif bagi menangani konflik di Syria termasuk isu serangan udara dan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.

Di samping itu, utusan khas PBB untuk Syria yang mendedahkan gambar dari Penjara Sednaya dan pusat tahanan lain memperlihatkan tahap kekejaman yang ‘tidak terbayangkan’ yang dialami oleh rakyat Syria selama bertahun-tahun.

Anda Mungkin Berminat