Oleh: Hanim Nadia
SHAH ALAM: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan wujud perbincangan awal berkenaan penyertaan Ahli Kerja Tertinggi UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke parti itu.
Bagaimanapun, Anwar tidak mengulas lanjut mengenai perbincangan itu.
“PKR ini memang terbuka. Macam Tengku Zafrul pun dalam keadaan sama kita tidak pernah menafikan, dalam budaya kita tidak pernah mengajak orang tetapi sedia berbincang dan parti ini terbuka.
“Prinsipnya kita ambil sikap terbuka, orang boleh beri sumbangan tetapi dengan cara baik supaya hubungan dengan parti-parti termasuk UMNO, dan rakan-rakan baik.
“Selama ini dari segi dasar kalau hubungan dan pengalaman PH tidak galakkan, tetapi tak pernah halang malah kita hormat keputusan mereka dengan hubungan baik dengan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada Kongres Khas PKR di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada Ahad.
Sebelum ini media melaporkan, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu dikaitkan untuk menerajui Selangor menggantikan Amirudin yang akan ke Kabinet.
Desas-desus itu mendapat perhatian Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi apabila beliau tidak dapat mengesahkan dakwaan itu.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan beliau akan kekal di negeri itu sehingga ke akhir penggal ini, demi menjamin kestabilan ekonomi dan Kerajaan Perpaduan.
Baca juga: