Pengusaha feri tak layak terima subsidi diesel jika naikkan tambang – Loke

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi amaran kepada pengusaha feri untuk tidak menaikkan harga tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan, jika usaha menaikkan tambang itu diteruskan, mereka tidak layak menerima subsidi diesel.

“Saya amat kesal dengan tindakan terburu-buru pengusaha feri Langkawi membuat pengumuman menaikkan kadar tambang feri pada hari ini.

“Saya memberi amaran kepada mana-mana pengusaha feri bahawa mereka tidak akan layak menerima subsidi diesel sekiranya mereka meneruskan tindakan menaikkan kadar tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik.

“Adalah lebih baik semua pengusaha menarik balik pengumuman ini serta merta dan berunding dengan pihak Kementerian Pengangkutan dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.

Kenyataan Anthony menyusul selepas Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line) mengumumkan kenaikan harga tiket bagi perkhidmatan feri bagi setiap perjalanan ulang-alik dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi akan dinaikkan di antara RM3 dan RM10.50 bermula 1 Januari ini.

Pengurus Operasi Ferry Line, Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid dilaporkan berkata, kenaikan tambang itu membabitkan kategori pelancong warga negara, pelancong bukan warga negara dan penduduk tempatan.

Tambah Anthony, MOT baru mendapat kelulusan prinsip dari Kementerian Kewangan pada Jumaat lalu untuk memberi bantuan subsidi diesel kepada pengusaha-pengusaha feri di pulau-pulau utama di seluruh negara termasuk Langkawi mulai 1 Januari 2025.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat