Dagangan Malaysia-Thailand terus diperkukuh menjelang 2027

PETALING JAYA: Perdagangan antara Malaysia dan Thailand mencecah RM95.5 bilion bagi tempoh antara Januari dan Oktober tahun ini. Ia mengatasi RM94.37 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kenaikan itu mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

“Thailand adalah antara rakan dagangan utama bagi Malaysia, menduduki tempat keenam terbesar di dunia dan kedua terbesar di ASEAN pada 2023, dengan perdagangan dua hala bernilai RM113.16 bilion.

“Lawatan sulung Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, selepas dipilih sebagai Perdana Menteri Thailand ke-31, insya-Allah akan terus mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara,” katanya menerusi Facebook pada Isnin.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menganjurkan majlis makan tengah hari rasmi bagi meraikan rakan sejawatannya dari Thailand Paetongtarn Shinawatra di kompleks Seri Perdana.

Paetongtarn dan delegasinya yang tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi dua hari, disambut oleh Anwar sebaik tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri pada 11.45 pagi

Anwar berkata nilai dagangan bagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand disasarkan bernilai AS$30 billion (RM133.8 billion) menielang 2027.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat