Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: Nama Kim Seri kini menjadi buah mulut orang ramai setelah syarikat ejen pelancongan miliknya didakwa melakukan penipuan ke atas para pelanggan.
Sejak Isnin, berlegar-legar video di media sosial memaparkan seorang wanita yang mendakwa dia bersama rombongannya tersadai di lapangan terbang, berikutan ketiadaan tiket penerbangan pulang ke tanah air seperti dijanjikan pempengaruh dan usahawan terkenal berkenaan.
Wanita itu mendakwa sudah membuat semakan di kaunter tiket, namun namanya bersama rombongan tiada dalam rekod.
Oleh itu, dia menuntut Kim Seri bertanggungjawab kerana terkilan dengan apa yang berlaku selepas membuat pembayaran penuh awal seperti diminta pempengaruh berkenaan.
Difahamkan, Kim Seri atau nama sebenarnya Seri Azlina, 39, kini masih berada di Korea Selatan dan ini seterusnya menimbulkan tanda tanya mengenai tindakan yang sepatutnya boleh diambil ke atas bekas guru tersebut.
Tampil mengulas, pakar undang-undang, Datuk Salehuddin Saidin menyarankan orang ramai yang menjadi mangsa supaya membuat laporan polis.
Namun, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak boleh mengambil sebarang tindakan selagi pempengaruh itu masih berada di luar negara.
“Boleh buat report polis, tapi tindakan tidak boleh diambil selagi dia tidak pulang ke Malaysia,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Selasa.
Senada dengannya adalah peguam, Mohd Kamaruzaman A Wahab yang turut meminta mangsa membuat laporan polis terlebih dahulu bagi memudahkan pihak berkuasa itu membuka kertas siasatan.
Namun, beliau berkata, meskipun tiada tindakan boleh diambil ke atas pempengaruh itu kerana sedang berada di luar negara, PDRM masih boleh meminta kerjasama daripada pihak polis Korea Selatan.
“PDRM boleh memohon pemindahan banduan antarabangsa, tetapi tidak dapat dipastikan setakat mana polis Korea Selatan boleh memberi bantuan.
“Tetapi, untuk peringkat awal diharapkan pempengaruh tersebut boleh balik ke Malaysia untuk memberi kerjasama. Jika tidak, PDRM perlu buat sesuatu yang lain,” ujarnya.
Sementara itu, Kim Seri menerusi laman Instagramnya memaklumkan akan memberi kenyataan rasmi berhubung isu tular yang mengaitkan dirinya.
“Saya akan mengeluarkan kenyataan rasmi di IG dan TikTok berkenaan isu yang sedang tular kemudian. Terima Kasih,” tulisnya pada Selasa.
Sebelum ini, Kim Seri pernah dikritik lantaran syarikat ejen pelancongan miliknya didakwa memberikan perkhidmatan yang teruk.
Ia susulan rungutan beberapa pelancong yang pernah mengambil pakej pelancongan ke Korea Selatan di bawah syarikatnya.
Untuk rekod, Kim Seri mula dikenali selepas banyak berkongsi pengalamannya menyambung pelajaran di Korea Selatan menerusi pelbagai video di TikTok.
Kerja kerasnya menampakkan hasil apabila berjaya membuka sebuah restoran terletak di Myeondong, Seoul sejak September tahun lalu.
Baca juga: