Oleh: Hanim Nadia
KUALA LUMPUR: Bekas ketua menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dilantik sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri seterusnya, berkuat kuasa 1 Januari 2025.
Musa menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara pada Selasa.
Di bawah Perkara 1 Perlembagaan Sabah memperuntukkan bahawa TYT, atau Yang di-Pertua Negeri, dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) yang membawa gelaran Tun kepada Musa.
Pelantikan Tun Musa adalah bagi menggantikan Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin yang menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.
Pelantikan ini berkuatkuasa 1 Januari 2025 selama 4 tahun hingga 31 Disember 2028.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tun Datuk Seri Panglima Juhar yang berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-10 selama empat penggal.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bermee Awang Ali Basah dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Untuk rekod, Musa berkhidmat sebagai ketua menteri Sabah dari 2003 hingga 2018, di bawah pentadbiran BN.
Baca juga: