Oleh: Haikal Tajudin
PETALING JAYA: Cadangan dasar penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Kebebasan Maklumat (Freedom of Information Act, FOI) akan dibentangkan di Parlimen pada tahun 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia hasil daripada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) semalam.
“Mesyuarat bersetuju supaya RUU ini dibentangkan di Parlimen pada tahun 2025 ke arah meningkatkan ketelusan dalam perkhidmatan awam dengan memastikan hak individu untuk akses kepada maklumat di bawah bidang kuasa Kerajaan terjamin dan terpelihara di sisi undang-undang.
“Mesyuarat turut mengambil maklum tentang penubuhan Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.
“Langkah ini diambil untuk tambah baik imej dan persepsi negara berhubung tata kelola baik sektor awam di peringkat antarabangsa, khususnya dalam kalangan pelabur asing,” kongsinya di Facebook pada Selasa.
Terdahulu, persidangan Dewan Negara telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2025 selepas mendapat sokongan sebulat suara semua Ahli Dewan Negara.
Perkara itu juga turut diumumkan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah ketika mempengerusikan sementara persidangan.
Baca juga: