Polis giat kesan lelaki rakam bawah kain wanita di pasar raya

PETALING JAYA: Polis kini giat mengesan seorang lelaki yang didakwa merakam bawah kain seorang wanita di sebuah pasar raya di Jenjarom, Kuala Langat, pada minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 9 Disember lalu.

“Menurut laporan, mangsa yang sedang membeli-belah di pasar raya tersebut menyedari perbuatan tidak sopan seorang lelaki yang merakamnya dari bawah kain.

“Mangsa kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan mendapati lelaki tersebut mengangkat kainnya untuk merakamkan gambar di bawahnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Susulan laporan itu, polis telah membuka siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan kini sedang berusaha mengesan suspek yang terlibat.

Beliau turut menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat