Tokyo perkenal 4 hari kerja seminggu, inisiatif tangani penurunan kadar kelahiran

TOKYO: Bandar Tokyo melakukan reformasi bekerja dengan memperkenalkan empat hari seminggu bekerja bagi penjawat awam, yang dijadualkan bermula pada April 2025.

Inisiatif ini sebahagian usaha Kerajaan Metropolitan Tokyo dalam menyokong ibu bapa bekerja, istimewanya menangani penurunan kadar kelahiran di negara itu.

Gabenor, Yuriko Koike berkata ia bagi memastikan tiada sesiapa yang melepaskan kerjaya mereka kerana kelahiran atau penjagaan anak.

“Kerajaan juga perkenalkan satu lagi dasar membolehkan ibu bapa yang mempunyai anak kecil (darjah satu hingga tiga) menukar sebahagian daripada gaji mereka untuk pulang awal dari tempat kerja,” katanya, memetik Indian Express pada Isnin.

Sementara itu, pakar perubatan, Anike Mule berkata minggu kerja empat hari berpotensi memberi pelbagai manfaat kesihatan kepada pekerja, antaranya peningkatan kesejahteraan mental.

“Dengan lebih banyak masa untuk berehat, mengejar hobi, dan terlibat dalam aktiviti peribadi, pekerja dapat mengurangkan tahap stres, sekali gus memperbaiki keseimbangan kehidupan kerja mereka.

“Masa rehat tambahan ini juga memberi peluang untuk pekerja menjaga kesihatan fizikal mereka, seperti membina rutin tidur dan senaman yang lebih konsisten.

“Selain itu, pengurangan tekanan kerja dan lebih banyak masa untuk berehat dapat meningkatkan motivasi dan produktiviti ketika bekerja,” katanya.

Bagaimanapun, Mule berkata tetap ada risiko utama iaitu peningkatan beban pada hari-hari bekerja.

“Dengan minggu kerja yang dipendekkan, beberapa orang mungkin terpaksa bekerja lebih lama pada hari-hari bekerja untuk memenuhi tarikh akhir atau menyelesaikan tugas yang tertunda.

“Ini boleh menyebabkan peningkatan tekanan dan memberi kesan negatif kepada kesihatan mental mereka.

“Selain itu, menyesuaikan diri dengan jadual yang dipadatkan mungkin menimbulkan ketidakseimbangan kehidupan kerja,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat