JPA Nafi Wajib Penjawat Awam Miliki BMI Seimbang

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Hospital Miri, Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Jack Wong Siew Yu, berkenaan kewajipan bagi semua penjawat awam untuk memiliki Indeks Jisim Badan (BMI) yang seimbang mulai tahun depan.

Dalam satu kenyataan, JPA menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau kenyataan yang mewajibkan semua pegawai awam untuk mempunyai BMI seimbang.

“JPA menggalakkan pegawai awam untuk melaksanakan saringan kesihatan kendiri dan mengisytiharkan status BMI mereka dalam sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS),” katanya pada Rabu.

Menurut JPA, inisiatif itu selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Awam (MyPPSM) Ceraian S.R 2.5.1 mengenai Perisytiharan Rekod Kesihatan bagi Membudayakan Gaya Hidup Sihat yang dikeluarkan pada 6 September 2022.

Tambahnya, JPA juga kekal komited untuk bekerjasama dengan KKM dalam usaha menangani isu obesiti dalam kalangan pegawai awam dan meningkatkan kesihatan awam secara menyeluruh.

“JPA turut menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang melibatkan jabatan itu perlu mendapatkan kebenaran rasmi dan meminta agar jabatan tidak dijadikan rujukan tanpa pengesahan fakta,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat