NRES arah henti kerja perlombongan, 2 syarikat langgar peraturan

Oleh: Kamilia Ali

GUA MUSANG: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah mengeluarkan arahan henti kerja perlombongan kepada dua syarikat yang disyaki mencemarkan Sungai Kelaik, Kelantan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan siasatan terhadap pematuhan syarikat-syarikat tersebut mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

“Hasil siasatan mendapati bahawa Syarikat Aqua Orion Sdn Bhd telah menjalankan aktiviti tanpa kelulusan di bawah subseksyen 34A(3) dan kertas siasatan akan dibuka segera di bawah subseksyen 34A(6).

“Manakala Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd (Redstar Capital Sdn Bhd) didapati tidak beroperasi dengan tiada kerja-kerja mengorek atau memproses bijih besi dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, JAS juga akan mengemukakan surat kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kelantan untuk menangguhkan kelulusan pembaharuan lesen melombong bagi Syarikat Aqua Orion Sdn Bhd.

“Pemantauan tapak projek akan diteruskan dan tindakan perundangan tegas akan diambil bagi ketidakpatuhan di bawah Akta 127,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara mandatori selama tempoh tidak lebih lima tahun dan denda antara RM100,000 hingga RM1 juta.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat