Lan Zailan meninggal dunia akibat kanser pankreas

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Seorang lagi legenda permata industri filem dan drama tanah air, Lan Zailan, meninggal dunia akibat kanser pankreas pada pukul 4.15 pagi tadi pada usia 66 tahun.

Allahyarham Lan Zailan atau nama sebenarnya, Zailan Kamarudin, menceburi industri filem dan drama sejak tahun 1980 sehingga kini dan terlibat lebih daripada 10 filem serta puluhan drama dan telefilem di Malaysia.

Dalam pada itu, jenazah kini dilaporkan berada di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dimandikan sekitar pukul 8 pagi tadi, kemudian dibawa ke Masjid As Salam Puchong Perdana untuk disolatkan sebelum dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22.

Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham.

“Seniman amat berdukacita atas pemergian arwah ke negeri abadi namun kita redha atas kehendak ilahi.

“Seniman menyifatkan industri kreatif kehilangan seorang pelakon yang sangat berbakat buat tanah air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, pihak kepimpinan tertinggi dan barisan exco Seniman mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan agar arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman disyurga.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat