Pesawah Kedah terima bantuan khas RM200 setiap bulan

JERLUN: Bantuan Khas Sumbangan Tunai (BKST) mampu meringankan beban pesawah yang terkesan dengan pelbagai cabaran dalam sektor pertanian.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ia melibatkan dua fasa dengan fasa kedua membabitkan 44,139 pesawah di Kawasan Muda dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM26.48 juta.

Mereka akan menerima wang tunai RM200 setiap bulan selama tiga bulan.

“BKST adalah salah satu inisiatif di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), yang disasarkan kepada pesawah padi yang berdaftar dengan agensi yang dilantik oleh kementerian,” katanya setelah menyampaikan sumbangan kepada 250 pesawah dari beberapa kawasan Kerpan, Kubang Sepat, Jerlun, dan Kuala Sungai.

Bagi mereka yang tidak dapat hadir pada majlis tersebut, bantuan akan disalurkan terus ke dalam akaun bank masing-masing mulai minggu hadapan.

Mohamad juga menekankan pentingnya bantuan ini dalam memberikan sokongan kepada pesawah yang memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan bekalan makanan negara.

Selain itu, beliau turut menggalakkan pesawah untuk menyertai Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) yang diperkenalkan oleh kementerian sebagai perlindungan daripada risiko bencana alam, penyakit tanaman, atau serangan perosak yang boleh menjejaskan hasil pertanian mereka.

“Skim Takaful ini adalah langkah penting untuk memastikan pesawah dilindungi daripada kerugian yang mungkin timbul akibat faktor luar kawalan,” ujarnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat