Semua pertandingan antarabangsa di Malaysia perlu kelulusan menteri


Oleh: Fazleen Safina

PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkenalkan tiga dana baharu, bagi meningkatkan prestasi sukan, membudayakan gaya hidup cergas dan memacu industri sukan negara.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, dana yang berkuat kuasa pada 2025 tersebut melibatkan Geran Padanan Sukan (GPS), Dana Sukan Komuniti (DSK) dan Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN).

“Pelaksanaan dana itu juga telah ditambah baik dari segi mekanisme dan terma rujukan permohonan berdasarkan maklum balas serta sambutan pada tahun 2024.

“Dana itu disasarkan bagi menyokong pelbagai aktiviti sukan yang melibatkan 103 jenis sukan seperti yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).

“Pendekatan itu akan membantu meningkatkan budaya gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat dan memperkasakan industri sukan negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Hannah, semua pertandingan antarabangsa yang dianjurkan di Malaysia bagi tahun 2025 memerlukan kelulusan daripada menteri sebelum dilaksanakan.

Namun, katanya, mulai tahun 2026, kebenaran bertulis menteri perlu diperolehi sebelum membuat tawaran atau menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah bagi apa-apa pertandingan atau acara sukan antarabangsa di Malaysia.

“Ini selari dengan Seksyen 33, Akta Pembangunan Sukan Negara 1997 (Akta 576),” ujarnya.

Tambah Hannah, Geran Padanan Sukan (GPS) akan memberi peluang kepada badan sukan, kelab belia dan pertubuhan bukan kerajaan yang berdaftar untuk menganjurkan program sukan berprestasi tinggi di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau berkata, pembiayaan sehingga 50 peratus kos program atau maksimum RM1 juta disediakan melalui kaedah tuntutan bayaran balik selepas program selesai.

“Dana Sukan Komuniti (DSK) pula bertujuan membantu pelaksanaan program pembangunan sukan komuniti termasuk aktiviti kecergasan, sukan dan rekreasi.

“Dana itu menawarkan bantuan kewangan dengan jumlah maksimum RM50,000, disalurkan secara pendahuluan 70 peratus dan baki 30 peratus selepas laporan lengkap diterima,” katanya.

Jelasnya lagi, Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara (KWASN) pula akan memberi tumpuan kepada penganjuran pertandingan sukan kebangsaan dan antarabangsa serta penyertaan atlet ke kejohanan luar negara.

Ujarnya, permohonan dana itu tertakluk kepada jenis sukan yang disenaraikan di bawah Akta Pembangunan Sukan.

Katanya, KBS tidak mengenakan sebarang caj, komisen atau fi untuk permohonan dana ini.

“Orang ramai yang berhadapan dengan insiden penyalahgunaan diminta melaporkan kepada Unit Integriti KBS melalui e-mel unit_integriti@kbs.gov.my.

“Pelaksanaan dana itu diharapkan dapat memupuk budaya sukan dalam kalangan masyarakat, memperkasakan pertubuhan sukan, serta meningkatkan prestasi atlet melalui penganjuran pertandingan yang lebih kompetitif,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai permohonan dan garis panduan dana, sila layari laman web rasmi KBS di https://www.kbs.gov.my.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat