PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan pemilik akaun Tiktok @ryanwong_5845 yang dipercayai mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan terhadap institusi diraja dan Perdana Menteri.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sebelum itu laporan dibuat pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkaitan kandungan terbabit.
“Susulan itu, pihak polis telah menahan seorang lelaki berusia 22 tahun dipercayai pemilik akaun Tiktok tersebut semalam (kelmarin) di rumahnya di Johor.
“Kita turut merampas telefon bimbit milik suspek. Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, kandungan terbabit didapati bersifat bersifat jelik yang dipercayai dengan niat untuk menyakitkan hati, memperlekeh dan menghina institusi diraja.
“Ia juga turut didapati membangkitkan kebencian serta provokasi terhadap Institusi Diraja yang berpotensi mengganggu-gugat keselamatan awam dan keharmonian negara,” ujarnya.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan dengan lanjut.
Sebelum itu, Rayyan Wong mengeluarkan permohonan maaf atas tindakannya mengeluarkan kenyataan memfitnah institusi Diraja serta pemimpin negara yang makan di sebuah restoran didakwanya tiada sijil halal.
“Saya minta maaf tentang kenyataan makan di restoran tiada sijil halal rupanya ia ada. Minta maaf kekhilafan sendiri kerana tidak buat kajian lebih lanjut,” katanya.
Lelaki tersebut sebelum ini memuat naik kenyataan mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Datuk Seri Anwar Ibrahim makan di sebuah restoran di Johor Bharu yang tidak mempunyai sijil halal.
Baca juga: