Oleh: Haikal Tajuddin
PEMBELIAN tiket konsert GENKRU laris terjual dalam tempoh 30 minit yang lalu, mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan peminat kerana gagal membuat pembelian tiket tersebut.
Bagi tidak menghampakan para peminat, pihak Icon Entertainment, selaku pengurus konsert, menjanjikan bahawa konsert pada hari kedua akan diadakan bagi memberi peluang kepada individu yang gagal membuat pembelian tiket pada hari pertama.
“Kami amat terharu dengan sambutan ini. Fenomena ini sudah dijangka kerana melihatkan populariti dan profil KRU yang merupakan salah satu ikon negara kita. Kita buka pembelian tiket pada pukul 11 pagi tadi dan kini habis dijual.
“Namun kami rasa lebih terharu dengan sambutan yang di luar jangkaan awal dan tiket sudah sold out! Seramai 10 ribu pembeli tiket sudah bersedia untuk ‘battle’ tiket seawal 8.30 pagi. Saya kira ini merupakan satu penghargaan dan respon positif untuk artis tanah air kita” ujar Iman Tang, pengasas Icon Entertainment dalam rasa syukur.
Dalam pada itu, beliau turut berkata, pengumuman itu akan dibuat dalam masa terdekat bagi memenuhi permintaan ramai.
Sebagai info, kumpulan KRU yang terdiri dari tiga beradik iaitu Norman, Yusry, dan Edry Abdul Halim bakal melakukan konsert di Axiata Arena pada 3 Mei 2025 bagi mengimbau kembali nostalgia dan pencapaian yang telah dibuat sejak beberapa abad yang lalu.
Tiket itu mula dijual pada 20 Disember (hari ini) dan dibuka pada 11 pagi menerusi laman web WWW.TICKET2U.COM.MY/KRU.
Belum sampai 30 minit penjualan tiket itu dibuka, ia sudah pun habis terjual.
Baca juga: