Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Sebaik tularnya video melibatkan penyokong bola yang dipercayai bergaduh malam tadi, kini kes tersebut berada di bawah siasatan polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa hari ini berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 147/ 427 Kanun Keseksaan.
“Pihak Polis mengesahkan telah menerima laporan polis berhubung satu video tular yang memaparkan kejadian pergaduhan di sebuah Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, Sg Besi, Kuala Lumpur.
“Kejadian berlaku pada 21 Disember 2024, jam lebih kurang 12.03 malam di antara dua kumpulan penyokong bola sepak melibatkan anggaran 20 hingga 30 orang yang bertindak agresif, bertumbuk antara satu sama lain, membaling tong sampah dan penghadang pintu lift ke arah tren.
“Mereka juga turut menendang pintu tren mengakibatkan kerosakan di bahagian pintu cermin tren hingga menyebabkan tren terhenti lebih kurang 8 minit.
“Oleh hal demikian, kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 147/ 427 Kanun Keseksaan dan masih dalam siasatan polis,” jelasnya.
Beliau menasihati orang ramai agar tidak melibatkan diri dalam provokasi sehingga menyebabkan pergaduhan di kawasan awam.
Sekiranya terdapat maklumat berkenaan kejadian ini oleh orang awam, disarankan untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.
Video tular itu dipercayai berkaitan dengan perlawanan terakhir Kumpulan A Piala AFF 2024 antara pasukan Malaysia menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, yang berkesudahan keputusan seri tanpa jaringan.
Keputusan seri tanpa jaringan itu menyebabkan pasukan Malaysia gagal menempah tiket ke perlawanan separuh akhir, seterusnya menamatkan kempen kali ini di kedudukan ketiga.
Sebaik perlawanan tamat, terdapat kumpulan penyokong bola sepak membuat rusuhan dan pergaduhan di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan sehingga menyebabkan kerosakan pada bahagian pintu cermin tren dan mengakibatkan perkhidmatan itu terhenti sekitar lapan minit.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan, berkata insiden itu berlaku jam 12.03 tengah malam ketika pengadu menaiki tren dari Stesen LRT Bukit Jalil menghala ke Sentul Timur.
Baca juga: