Pesalah seksual berdepan tindakan tanpa mengira jawatan atau status – Naib Canselor UM


Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Tiada sebarang kompromi kepada pesalah berkaitan isu melibat gangguan seksual di universiti, kata Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Professor Datuk Seri Dr. Noor Azuan Abu Osman.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata, pihak universiti akan mengambil tindakan pantas tanpa mengambil kira jawatan mahu pun status pihak pelaku jika sah disabitkan bersalah melakukan perkara tersebut.

*Universiti Malaya sememangnya memandang serius tentang perkara ini. Komitmen kami termaktub dalam Kod Bebas Eksploitasi, Penganiayaan dan Gangguan Seksual di UM yang boleh dimuat turun melalui Kod QR sebagai satu usaha sebar luas pemakaian kod tersebut.

“Kod ini telah disemak dan ditambah baik yang mana eksesais telah melibatkan pelbagai pihak seperti wakil pelajar, wakil kesatuan, wakil NGO yang berkaitan dengan anti gangguan seksual, wakil polis dan peguam bagi mendapatkan input yang menyeluruh.

“Setiap tahun ketika pelajar baru mendaftarkan diri pada Minggu Haluansiswa (orientasi), UM mengambil kesempatan ini sebagai platform awal untuk memberi kesedaran berkaitan gangguan seksual kepada para pelajar tersebut,” ujar beliau.

Beliau turut maklum kes melibatkan seorang profesor sedang disiasat oleh pihak polis dan sedia memberi kerjasama sepenuhnya dalam membantu siasatan.

Selain itu, UM turut menyediakan platform khas di laman web https://umintegrity.um.edu.my bagi membantu mangsa tampil melaporkan kejadian gangguan seksual supaya tindakan dapat diambil dengan sewajarnya.

Dipercayai, tindakan ini melindungi Polisi Pemberi Maklumat UM dalam usaha menggalakkan sebarang laporan salah laku termasuk gangguan seksual.

Tambahnya, pihak UM melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Unit Integriti juga turut melaksanakan pelbagai program dan aktiviti, dengan harapan dapat meningkatkan kesedaran terhadap isu tersebut.

“Perkara ini ditonjolkan apabila UM mendengar pandangan pelajar yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai UM Feminism Club yang telah mengemukakan tinjauan pada 24 Mei dan mendakwa bahawa satu daripada lima pelajar pernah mengalami gangguan seksual.

“Namun begitu, saya memandang serius tuduhan dari alumni pengajian gender yang mendakwa bahawa seorang daripada setiap lima individu di UM mengalami gangguan seksual,” katanya.

Terdahulu, Alumni Pengajian Gender Universiti Malaya (UM) telah menyediakan 10 tuntutan tegas bagi menjamin keselamatan mahasiswa/i berikutan lambakan kes gangguan seksual di kampus.

Menurut kenyataan itu, satu daripada lima pelajar pernah mengalami gangguan seksual di kampus, namun hanya 11.1 peratus yang berani tampil melaporkannya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat