KUALA LUMPUR: Sebanyak 22 ekor kucing liar yang berada di Universiti Malaya (UM) berjaya diselamatkan oleh sekumpulan sukarelawan.
Hal itu susulan kejadian kematian beberapa kucing ditemui dalam keadaan menyayat hati baru-baru ini.
Menurut perkongsian di TikTok oleh pengguna @Shopbyhaniz, kesemua kucing yang diselamatkan kini ditempatkan di lokasi selamat sebelum dihantar ke klinik veterinar untuk pemeriksaan kesihatan.
“Alhamdulillah, kami berjaya menyelamatkan 22 ekor kucing di UM.
“Mereka akan diperiksa kesihatan, dimandulkan, diberi vaksin, serta ubat cacing dan kutu,” kata sukarelawan menerusi kapsyen pada video tersebut.
Keprihatinan sukarelawan itu mendapat pujian ramai di media sosial, dengan pengguna meluahkan rasa lega dan berharap kejadian kejam terhadap haiwan tidak berulang.
“Harap semuanya selamat dan tidak ada yang terlepas pandang,” kata @TK.
“Jangan lepaskan mereka kembali ke UM selagi penjenayah tidak dijumpai,” kata @GreenKnife.
Insiden ini tercetus selepas lima ekor kucing ditemui mati di sebuah fakulti di UM dalam keadaan tragis.
Salah seekor dilaporkan mengalami kecederaan pada kaki, manakala seekor lagi ditemui dengan bahagian perut terbelah.
Susulan itu, Kesatuan Mahasiswa UM Fakulti Perniagaan dan Ekonomi (MMUM FPE) membuat laporan polis serta memaklumkan insiden tersebut kepada pasukan veterinar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Namun, siasatan pihak polis mengesahkan bahawa kematian kucing-kucing itu bukan disebabkan perbuatan manusia, sebaliknya dipercayai akibat serangan anjing liar.
Baca juga: