Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Sepanjang tahun 2024, ekonomi Malaysia melonjak dengan cemerlang dengan pelbagai perancangan Kerajaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata sesuai dengan slogan ‘Melonjak Ekonomi, Melimpah Kemakmuran’ ini sekali gus meningkatkan keterjaminan rakyat pada masa hadapan.
“Alhamdulillah, Kerajaan MADANI telah melaksanakan pelbagai perencanaan untuk terus melonjakkan ekonomi negara sepanjang tahun bagi melimpahkan kemakmuran berpanjangan buat rakyat dan negara.
“Kerajaan akan terus bekerja keras di tahun- tahun mendatang untuk memacu masa depan yang lebih sejahtera, Insya-Allah,” ujarnya menerusi Facebook pada Ahad.
Kenyataan itu adalah selari dengan Sorotan 2024 yang dikeluarkan terhadap intipati-intipati Kerajaan terhadap ekonomi Malaysia.
Antaranya, adalah nilai pelaburan ekonomi digital sebanyak RM 254.7 bilion yang sudah diluluskan sejak Januari sehingga September 2024.
Pelaburan itu telah dibuat keatas beberapa syarikat yang berasaskan teknologi seperti Microsoft (RM10.5 bilion), Oracle (RM27 bilion), AWS (RM21.3 bilion), Google (RM9.4 bilion), YTL dan NVIDIA (RM20 bilion).
Selaras dengan nilai pelaburan tersebut, ia turut diyakini dapat membuka peluang pekerjaan yang lebih pesat, dengan anggaran sebanyak 159,000 orang.
Dalam pada itu, kerajaan juga turut melakukan pelaburan sebanyak RM30.1 bilion keatas Infineon di Kedah bagi membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida terbesar dunia, di samping dapat menghasilkan 4,000 peluang pekerjaan.
Disamping itu, Kerajaan MADANI turut melakukan kerjasama strategik bersama SD Guthrie dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) serta melakukan perancangan terhadap pembangunan tanah seluas 1,000 ekar, diikuti dengan pembinaan ladang solar seluas 660 ekar.
“Bagi memacu pertumbuhan ekonomi melalui penglibatan sektor swasta, Projek Kerjasama Awam Swasta (PPP) turut membuat sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM82 bilion menjelang tahun 2030.
“Bukan itu sahaja, pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA 35) juga turut diberi tumpuan bagi meningkatkan keadilan sosioekonomi negara.
“Kerajaan juga turut melakukan pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bernilai RM120 bilion dalam sektor pertumbuhan seperti pembuatan canggih dan peralihan tenaga,” jelas kenyataan yang dikongsikan menerusi laman www.malaysiamadani/gov/my.
Dalam kenyataan yang sama, intipati itu turut selari dengan Kemajuan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan daya saing global.
Baca juga: