Usah tendang bola ke gawang sendiri, fokus PRU16 – Zahid

PETALING JAYA: Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bersama Kerajaan Perpaduan bukan sekadar strategi politik, tetapi untuk memastikan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata setiap ahli BN berperanan penting mencapai kemenangan dengan semua bergerak sebagai satu pasukan yang padu.

“Kita telah bersama-sama mengukuhkan iltizam melalui Konvensyen Barisan Nasional Negeri Sembilan. Perhimpunan ini bukan sekadar medan untuk menyusun langkah, tetapi juga lambang kesepaduan kita dalam mendepani cabaran politik masa kini.

“Dalam Barisan Nasional, tiada ruang untuk bermain sendiri, lebih-lebih lagi cuba menendang bola ke gawang sendiri. Sebaliknya, kita perlu bersatu, fokus kepada strategi dan saling menyokong untuk memastikan kejayaan, khususnya di Negeri Sembilan menjelang PRU16 (pilihan raya umum ke-16),” kongsinya di Facebook malam tadi, selepas mempengerusi ucaptama BN di Seremban.

Zahid turut memuji BN Negeri Sembilan yang menjadi contoh terbaik bagaimana kerjasama politik yang matang mampu membawa kejayaan dan kemakmuran yang lebih luas.

“Bergerak ke hadapan, fokus perlu diberikan kepada menarik generasi muda, memanfaatkan teknologi serta menguasai media sosial. Mendekati rakyat dan memahami aspirasi mereka adalah kunci kepada keyakinan mereka terhadap Barisan Nasional.

“Saya yakin, dengan kepimpinan yang mantap, prestasi cemerlang menteri BN dan kesungguhan setiap ahli, saya yakin Negeri Sembilan akan terus menjadi kubu kuat perjuangan kita.

“Marilah kita bersatu hati, menyusun langkah dengan rapi dan terus bergerak maju. Insya-Allah dengan semangat berpasukan dan kesepaduan yang jitu, Barisan Nasional pasti mampu mencipta sejarah baharu di Negeri Sembilan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat