vOleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Pihak berkuasa digesa meningkatkan usaha membanteras pemilik dan pengusaha kenderaan berat yang membenarkan kenderaan tidak diselenggara dengan baik berada di atas jalan raya.
Pengasas dan Penasihat Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri mencadangkan operasi besar-besaran dan ‘Road Safety Audit’ segera dan berterusan ke atas kenderaan berat dan perdagangan terutama yang berusia.
“PPKJR memandang serius terhadap kejadian kemalangan maut di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, kerana ini bukan kali pertama insiden tayar terbang berlaku.
“Tindakan harus diambil ke atas pemilik dan pemandu treler yang terlibat dan hukuman mandatori dikenakan sekiranya pemandu mabuk hingga menyebabkan kematian,” katanya.
Jamil juga menekankan perlunya Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) memastikan kenderaan diperiksa dengan teliti di bawah pengawasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta badan penguatkuasaan lain.
Kemalangan tragis malam tadi menyebabkan tujuh maut dan 33 cedera di Kilometer 204 Lebuhraya PLUS arah utara.
Sementara itu, Pengarah JBPM Melaka, Mohd Pisar Aziz berkata, mangsa yang terbunuh termasuk tiga lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa dan seorang bayi perempuan.
Jamil mencadangkan pemeriksaan setiap suku tahun untuk semua kenderaan berat dan bas, mewajibkan pemeriksaan sistem brek, tayar, lampu dan pengagihan beban.
“Memberi kuasa untuk menjalankan pemeriksaan rawak oleh pegawai penguatkuasa, penubuhan Pusat Pemeriksaan Bertauliah di luar bandar dan pelaksanaan sistem rekod pemeriksaan digital yang dipautkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Dalam pada itu, beliau turut menggesa kelulusan bersyarat bagi pembaharuan cukai jalan bagi kenderaan berat dan bas yang gagal memenuhi piawaian keselamatan serta mandat pemeriksaan lebih kerap untuk kenderaan yang melebihi tempoh perkhidmatan.
“Mandatkan pemeriksaan yang lebih kerap untuk kenderaan melebihi 10 tahun perkhidmatan kerana ia lebih terdedah kepada kegagalan mekanikal atau aktakan umur kenderaan kepada 10 hingga 12 tahun had operasi,” ujarnya.
Baca juga: