Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan betapa perbezaan kaum dan budaya adalah resipi kemakmuran kepada mana-mana negara.
Dalam ucapan sempena Hari Krismas, Anwar berkata, perayaan Krismas yang disambut pada 25 Disember setiap tahun menceriakan ramai penganut Kristian di seluruh dunia termasuk Malaysia.
“Sebagai negara yang beragam dan rencam rasa serta budaya, perayaan-perayaan besar seperti ini terus menjadi sumber kekuatan dan perpaduan di kalangan kaum di Malaysia.
“Justeru, sebarang usaha menanam bibit dan gejala memicu pertentangan kaum mesti dielakkan kerana ternyata kita saling memerlu serta melengkapi.
“Terutamanya dalam usaha membina identiti negara bangsa yang berjaya dan berketerampilan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Anwar turut mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada seluruh penganut Kristian dan mengingatkan mereka untuk meluangkan masa bersama yang tersayang.
“Luangkan masa yang secukupnya bersama yang tersayang di hari besar ini dan hidupkan kecintaan antara insan,” katanya.