Oleh: Syahirah Harish
PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB), bersama bonus 0.25 sen seunit.
Pengumuman itu melibatkan jumlah dana utama Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat PNB, berjumlah RM10.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 yang akan memberi manfaat kepada lebih 11.1 juta pemegang unit.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, pencapaian itu merupakan agihan dividen paling kukuh sepanjang lima tahun lalu.
Beliau menegaskan bahawa prestasi kukuh Dana Harga Tetap ASNB menunjukkan komitmen PNB dalam mengukuhkan kedudukan kewangan rakyat Malaysia merentas generasi.
“Pembayaran dividen ASB sebanyak 5.75 sen seunit adalah lebih tinggi berbanding 5.25 sen seunit pada tahun 2023.
“Ia menjadikan jumlah dividen yang diagihkan kepada pemegang unit ASB sejak penubuhannya mencecah RM196.5 bilion,” katanya.
Tambahnya, prestasi ASB yang lebih baik didorong oleh strategi kepelbagaian aset PNB dan faktor pasaran ekuiti awam Malaysia yang kukuh.
Menurut kenyataan itu lagi, ekonomi Malaysia turut menunjukkan prestasi positif dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024 berbanding 3.3 peratus pada suku yang sama tahun lalu.
Kata Raja Arshad, sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan menyumbang kepada pertumbuhan ini, sementara pengukuhan ringgit mencatatkan peningkatan 14.9 peratus dari awal tahun hingga November 2024.
Bursa Malaysia KLCI juga mencatatkan peningkatan 10.0 peratus setelah mengalami prestasi lemah selama sedekad.
Beliau turut mengulas bahawa inisiatif MADANI kerajaan termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang memberi impak positif terhadap keyakinan pelabur dan ekonomi negara.
Baca juga: