‘Boleh Ke Curang Tanpa Niat? Takut…’ – Mira Filzah

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Walaupun hanya melakonkan watak isteri yang dicurangi dalam drama Curang Tanpa Niat, Mira Filzah enggan mengulas lanjut mengenai isu curang.

Mira Filzah atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, 31, mengakui dia juga berasa ‘takut’ apabila mendengar tajuk drama yang mengangkat isu masalah rumah tangga itu.

“Dengar tajuk drama ini pun sudah menakutkan. Boleh ke curang dilakukan tanpa niat?

“Secara umumnya, saya tidak pernah berada dalam kedudukan atau situasi itu tetapi perkara ini melibatkan dua belah pihak. Takutlah nak komen,” ujarnya.

Drama Curang Tanpa Niat (The Office Wife), arahan Eyra Rahman ini mula disiarkan pada 23 Disember lalu di Astro Ria.

Drama dengan 32 episod ini mempamerkan gandingan lakonan Shukri Yahaya, Mira Filzah dan Sharifah Sakinah dan diterbitkan oleh I Fabulous Art Media & Event Sdn.Bhd.

Antara pelakon lain yang terlibat, Hasnul Rahmat, Fadhlan Hazim, Nafiez Zaidi, Zarina Anjoulie, Fauzi Nawawi, Shiela Mambo, Kaza Saisi dan ramai lagi.

Mira Filzah membawa watak sebagai Elina, seorang ibu, isteri yang penyayang, pemaaf, namun seringkali menjadi sasaran mereka yang berniat jahat termasuk suaminya sendiri iaitu lakonan Shukri Yahaya.

“Watak Elina ini merupakan seorang wanita yang sangat ‘simple’ dan surirumahtangga sepenuh masa. Elina memang diberikan ‘look’ mak-mak yang sentiasa rushing, sangat relaks dan tidak bersiap.

“Dalam masa sama, ada cerita yang melibatkan suami Elina ini, kalau nak tahu kena tonton drama ini,” ujar Mira.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat