Fitnah Pada PAS Ditanggung Halal? – Puad

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Tindakan PAS melancarkan tabung ‘derma jihad’ bagi membantu Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, yang kalah dalam kes saman fitnah difailkan tiga pemimpin DAP, didakwa sebagai usaha meraih simpati rakyat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi, menyifatkan tindakan itu seolah-olah memberi tafsiran bahawa fitnah adalah halal bagi parti tersebut.

“Berapa agaknya jumlah kutipan yang terkumpul untuk bantu saman fitnah terhadap MP Kepala Batas (Siti Mastura)?

“Dalam PAS ramai jutawan yang boleh tolong bayar. Tetapi strategi PAS ialah untuk mensensasikan isu itu untuk meraih simpati rakyat.

“Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin kata tidak salah ahli PAS membantu Siti Mastura membayar saman fitnah kepada pemimpin DAP, namun Hashim Jasin tidak mengemukakan dalil syarie,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Surat pekeliling yang tersebar sebelum ini memohon ‘derma jihad’ bagi membiayai kewajipan Siti Mastura membayar RM825,000 dengan segera yang diperintahkan oleh mahkamah.

Menurut surat itu lagi, kegagalan membayar saman akan menyebabkan plaintif mengambil tindakan prosiding kebankrapan yang boleh menyebabkan Siti Mastura hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan kerusinya akan dikosongkan.

Siti Mastura kalah dalam kes saman fitnah kerana mendakwa Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng mempunyai kaitan keluarga dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng.

Dalam pada itu, Mohd Puad turut memetik kenyataan Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali bahawa sangat tidak wajar mengutip dana daripada masyarakat untuk membayar saman sivil kerana perlakuan dosa fitnah.

“Ia dibidas oleh Dr Khairuddin At Takiri bekas Setiausaha Dewan Ulama PAS. Mana boleh bantu bayar saman sivil kerana “dosa fitnah”.

“Dia (Khairuddin) merujuk Surah al Maidah ayat 2. Ia menyebut jangan bekerjasama atas dasar dosa dan permusuhan,” katanya.

Tambahnya lagi, mungkin fitnah dalam tafsiran PAS tidak sama dengan fitnah tafsiran mahkamah.

“Fitnah tafsiran PAS ‘ditanggung halal’,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat