BANTING: Istana Bandar, terletak di Kampung Bandar, Jugra, Kuala Langat, Selangor merupakan sebuah istana yang sarat dengan sejarah dan keindahan seni bina.
Dibina pada tahun 1899 oleh Sultan Alaeddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor ke-5, istana ini bukan hanya menjadi tempat tinggal diraja tetapi juga simbol kebudayaan dan sejarah negeri Selangor.
Istana Bandar telah memainkan peranan penting dalam sejarah negeri ini termasuk sebagai tempat kelahiran Sultan Selangor ke-8, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada tahun 1926.
Ia juga pernah menjadi pusat pentadbiran negeri Selangor semasa Jugra menjadi ibu negeri dari tahun 1875 hingga 1880 serta lokasi banyak majlis keramaian dan keagamaan yang dihadiri oleh pegawai-pegawai British dan tetamu asing.
Dengan seni bina yang menggabungkan elemen kayu cengal dan marmar berkualiti tinggi serta ukiran halus, Istana Bandar menjadi destinasi pelancongan yang popular.
Namun, keindahan dan keunikan seni bina istana ini tidak hanya menarik pelancong, malah menjadi lokasi penggambaran beberapa filem terkenal termasuk filem epik sejarah, hantu dan drama Melayu yang memperlihatkan kekayaan budaya Malaysia.
Antara filem seram Malaysia yang menjalani penggambaran di istana ini ialah ‘Pontianak Harum Sundal Malam’ yang diterbitkan pada tahun 2004. Filem arahan dan skrip oleh Shuhaimi Baba, dibintangi oleh maya Karin yang memegang dua watak utama, Maria dan Meriam.
Babak awal filem ini menampilkan watak Meriam dianugerahkan gelaran Primadona oleh Sultan (lakonan Azwan Ali) telah dirakam di Istana Bandar.
Terletak bersebelahan dengan Masjid Sultan Alaeddin, pengunjung boleh menikmati pemandangan yang menakjubkan dan merasai keagungan warisan Melayu ketika mengunjungi tempat ini.
Pengunjung boleh memandu dari Kuala Lumpur menggunakan Lebuhraya Persekutuan atau Lebuhraya KESAS menuju ke Klang, kemudian ke Banting dan Jugra.
Dengan sejarah yang kaya dan peranan penting dalam kebudayaan Malaysia, Istana Bandar Jugra terus menarik perhatian bukan hanya sebagai warisan budaya tetapi juga sebagai set penggambaran filem, menjadikan ia salah satu destinasi paling unik di Selangor.