Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: Semua pemilik tanah dan petak di Pulau Pinang akan menikmati pengecualian 100 peratus tunggakan denda cukai tanah dan cukai petak mulai 2 Januari hingga 28 Februari 2025.
Keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bersidang minggu lalu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, mesyuarat sama turut bersetuju memberikan pengurangan tunggakan denda cukai tanah dan cukai petak sebanyak 50 peratus mulai 1 Mac hingga 31 Mei 2025.
Menurutnya, kedua-dua insentif itu turut dipanjangkan kepada pemilik tanah atau petak yang telah menerima Notis Denda 6A untuk cukai tanah serta Notis Denda 11 bagi cukai petak.
“Namun, tawaran pengecualian dan pengurangan ini tidak dipanjangkan kepada pembayar yang membuat pembayaran secara ansuran dan bukan bersifat retrospektif.
“Tawaran ini juga tidak boleh dinikmati oleh pemilik tanah atau petak yang membuat pembayaran tunggakan denda lewat sebelum tarikh pengecualian dan pengurangan ini dikuat kuasakan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Secara keseluruhan, Kon Yeow memaklumkan, hasil semakan mendapati terdapat tunggakan denda lewat yang tinggi melibatkan 40,371 akaun cukai tanah dan 67,537 akaun untuk cukai petak di negeri itu, berjumlah hampir RM40.1 juta.
Beliau berkata, keadaan itu dikhuatiri akan menyebabkan tanah atau petak pemilik dilucut hak oleh pihak berkuasa negeri jika pembayaran tidak dibuat dengan segera.
Kon Yeow berkata, insentif diskaun yang diberikan oleh kerajaan negeri bertujuan menggalakkan pemilik tanah dan pemilik petak membayar cukai bagi tahun 2025 lebih awal dan meringankan beban mereka.
“Pembayaran boleh dilakukan melalui kaunter hasil Pejabat Daerah dan Tanah serta secara dalam talian melalui portal PgLAND,” katanya.