Sebat untuk mendidik, bukan menghukum – Ameerah

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Pengarah Ameerah Negeri Terengganu, Ustazah Asma Abdullah menyokong hukuman sebat syariah sebagai langkah untuk mendidik pesalah dan bukannya menghukum semata-mata.

Beliau menegaskan bahawa hukuman sebat yang diamalkan di Terengganu selaras dengan peruntukan undang-undang syariah dan tata cara pelaksanaan yang digariskan oleh agama Islam.

“Islam sebagai agama rahmatan lil ‘alamin mementingkan elemen pencegahan dan pendidikan.

“Hukuman ini adalah langkah mendidik masyarakat tentang keperluan mematuhi hukum Allah serta memberi kesedaran terhadap kesan perbuatan yang melanggar syariat.

“Ia bukan bertujuan memalukan atau menzalimi individu, tetapi sebagai proses pembetulan yang penuh hikmah,” katanya.

Menurutnya, dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, didenda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Asma berkata, keputusan itu turut disokong oleh Pengerusi Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM), Abu Suffian Abu Yaziz, berdasarkan peruntukan Seksyen 31 (A) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Jelas beliau, penyediaan SOP itu dibuat secara kolaborasi antara Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Mahkamah Syariah Negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Penjara Malaysia.

“Kami menyeru seluruh masyarakat termasuk pemimpin dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberikan sokongan terhadap pelaksanaan undang-undang syariah,” ujarnya.

Untuk info, pada 27 Disember 2024 (esok), Mohd Affendi Awang, seorang tukang rumah berusia 42 tahun, akan menjadi individu pertama di Terengganu yang menjalani hukuman sebatan secara terbuka.

Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail, memutuskan hukuman tersebut dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu, di hadapan 70 tetamu.

Mohd Affendi didakwa mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana kesalahan berkhalwat dan turut dikenakan denda RM4,000 dengan risiko penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat