Pengguna Bayar Tol Tapi Lampu Lebuh Raya Tiada – Dr Akmal

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa kerajaan, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (PLUS) untuk memasang lampu di kawasan gelap.

Ia selepas kemalangan maut di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh yang mengorbankan tujuh nyawa.

Menurut Dr Akmal, keadaan jalan yang gelap di lebuh raya merupakan faktor utama kemalangan apabila pengguna tidak dapat melihat objek di atas jalan raya.

“Antara faktor utama (kemalangan) ialah apabila keadaan lebuh raya itu sangat gelap, tidak ada lampu langsung.

“Bila gelap dan ada benda di atas jalan, tayar atau apa sahaja. Pengguna jalan raya seperti kereta, motor dan lori tak boleh mengelak. Jadi inilah yang menyebabkan kemalangan,” katanya dalam satu video di Facebook pada Jumaat.

Beliau yang juga ADUN Merlimau menegaskan bahawa jalan berbayar seperti lebuh raya juga memerlukan lampu jalan, sama seperti jalan kampung yang tidak berbayar.

Beliau mendesak kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil tindakan segera demi keselamatan pengguna lebuh raya.

“Jalan-jalan kampung yang tidak berbayar itu pun kita boleh letakkan lampu, takkanlah jalan tol yang berbayar, pengguna bayar duit sendiri tak boleh sediakan lampu di tempat yang gelap begini,” katanya.

Dalam kejadian pada 23 Disember lalu, tujuh orang termasuk kanak-kanak berusia dua tahun, maut dalam kemalangan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Alor Gajah, Melaka.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat