Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Thailand, Dr Thaksin Shinawatra dilantik sebagai penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN untuk memberi tumpuan kepada isu kritikal serantau, termasuk usaha melonjak ekonomi dan perkembangan teknologi baharu.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan dengan tokoh politik Thailand pada Khamis itu juga bagi merintis usaha damai di selatan Thailand dan merungkai krisis di Myanmar.
“Perbincangan kami seputar beberapa isu kritikal serantau, merangkumi usaha melonjak ekonomi, perkembangan teknologi baharu, merintis usaha damai di Selatan Thailand dan merungkai krisis di Myanmar,” katanya tanpa memperincikan lokasi pertemuan mereka.
Dalam perkembangan sama, Anwar menekankan kepakaran dan jaringan perhubungan meluas Thaksin yang dapat membuka peluang penting bagi Malaysia dan ASEAN dalam menghadapi cabaran serantau.
Selain itu, mereka turut bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh hubungan persahabatan antara Malaysia dan Thailand, selaras dengan visi dan persefahaman yang dikongsi bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.
“Kami berkongsi kepercayaan yang sama sejak puluhan tahun lalu bahawa Malaysia dan Thailand berupaya mencipta pelbagai kejayaan bersama untuk kedua-dua negara dan rantau ini.
“Insya-Allah, saya dan Thaksin komited untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya.
Pada 16 Disember lalu, Anwar mengumumkan pelantikan Thaksin sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Malaysia akan mempengerusikan ASEAN bermula 1 Januari 2025 dengan fokus untuk memastikan Asia Tenggara terus menjadi rantau yang aman, stabil dan makmur.