Oleh: Kamilia Ali
KUALA LUMPUR: Operasi perkhidmatan rel Rapid Kuala Lumpur (Rapid KL) akan dilanjutkan sehingga pukul 3.00 pagi sempena sambutan ambang tahun baharu 2025 pada 31 Disember ini.
Menurutnya, selain rel beberapa laluan bas terpilih turut beroperasi sehingga pukul 3.30 pagi pada 1 Januari 2025 bagi memenuhi keperluan warga kota yang ingin menghadiri acara sambutan di sekitar pusat bandar.
“Lanjutan operasi ini melibatkan 18 stesen rel, empat stesen Bus Rapid Transit (BRT) dan 20 laluan bas utama serta perantara Rapid KL.
“Stesen-stesen terlibat seperti Kelana Jaya, Ampang/Sri Petaling, Monorel Kuala Lumpur, Kajang, Putrajaya dan BRT Sunway,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, stesen-stesen selain yang daripada yang berkenaan akan tamat operasi perkhidmatan seperti biasa, walaubagaimana pun pengguna masih boleh keluar dari stesen berkenaan untuk meneruskan perjalanan.
“Jadual kekerapan tren juga turut dipertingkatkan di semua laluan rel bermula pukul 7.30 malam pada hari yang sama sehingga 1 Januari 2025 bagi memberikan kemudahan buat pengguna yang berkunjung ke lokasi-lokasi acara sambutan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, bagi memudahkan kelancaran perjalanan para pengguna, seramai 2,371 petugas barisan hadapan Rapid KL akan bertugas pada malam ambang tahun baharu ini.
Rapid KL menggalakkan pengguna untuk menggunakan kad Touch ‘n Go serta perkhidmatan pengangkutan awam pada hari acara sambutan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Baca juga: