Riadah bertukar tragedi, dua mangsa dikhuatiri lemas

Oleh: Kamilia Ali

PAPAR: Riadah sekeluarga bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak lelaki, Reuben Vitalis, 8, dan seorang lelaki dewasa, Karl Marx Vitalis, 48, dikhuatiri lemas di Pantai Bundusan berdekatan Blue Cabin Beachfront, Sabah pada Khamis.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik, kedua-dua mangsa masih belum dijumpai.

“Mereka dipercayai datang ke pantai tersebut untuk beriadah bersama keluarga sempena cuti sekolah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah dijalankan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu bermula pukul 6.30 petang Khamis dan disambung semula pada pagi Jumaat.

“Operasi pencarian meliputi 31 batu nautika persegi dari kawasan mangsa disyaki hilang,” katanya.

Che Engku Suhaimi turut menasihati orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan ketika beriadah di laut, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.

Beliau meminta orang ramai lebih peka dengan amaran perubahan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat