Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Terengganu telah melaksanakan hukuman sebatan syariah di luar penjara, menunjukkan komitmen negeri itu dalam mendukung undang-undang Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, hukuman bagi pesalah khalwat kali ketiga yang ditentukan oleh Mahkamah Syariah.
Jelas beliau, pelaksanaan hukuman takzir itu bukan sahaja mencerminkan ketegasan Terengganu dalam melaksanakan undang-undang syariah.
“Tetapi juga bertujuan untuk memelihara kesejahteraan masyarakat serta mendidik umat Islam tentang keadilan dan hikmah dalam perundangan Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, hukuman sebatan syariah itu dilaksanakan mengikut garis panduan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Takzir) dan SOP ketat yang ditetapkan oleh Mahkamah Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Ketua-ketua Hakim Syarie seluruh Malaysia, Jabatan Penjara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau menekankan bahawa langkah itu adalah salah satu usaha Terengganu untuk memperkukuhkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran, sejajar dengan aspirasi rakyat yang mahukan pelaksanaan undang-undang Islam secara holistik.
Katanya, proses pelaksanaan juga mematuhi syarat-syarat yang digariskan oleh hukum Islam termasuk penggunaan alat sebatan ringan yang tidak mencederakan fizikal, berbeza dengan sebatan sivil yang lebih menyakitkan.
Kerajaan Negeri menyeru masyarakat agar memahami maksud sebenar hukuman ini melalui program pendidikan dan penerangan supaya tiada sebarang salah faham yang boleh mencetuskan polemik.
Baca juga: