PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh digesa menarik semula kenyataan yang mempertikaikan pengampunan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli berkata Akmal seharusnya lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan serta mencari bahan rujukan untuk memahami konteks perkara.
“… beliau juga perlu memahami kuasa dan proses pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Fakta asas dan penting yang perlu Akmal ketahui adalah pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 atas dasar pelanggaran prinsip keadilan telah pun melalui proses wajar termasuk pembentangan dan pertimbangan oleh Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Ini telah dilapor secara meluas oleh media ketika itu. Maka apa yang dipertikaikan oleh Akmal bukan sahaja meluru, malah memesongkan fakta yang diketahui umum,” katanya dalam kenyataan media pada Ahad.
Adam turut menjelaskan bahawa Mahkamah Rayuan pada 2021 pernah membatalkan saman yang mempertikaikan pengampunan diraja yang dikurniakan kepada Anwar. Kesemuanya diputuskan secara tuntas melalui keputusan mahkamah, ketika Anwar dan Pakatan Harapan (PH) berada di blok Pembangkang.
“Pengurniaan pengampunan bukan keputusan yang dibuat sewenang-wenangnya mengikut desakan politik, tetapi dilindungi mekanisme yang telah ditetapkan undang-undang dan Perlembagaan.
“Kami di Harapan ketika itu menuruti proses ini dengan cermat dan hemah atas dasar memperakui keluhuran perlembagaan kita.
“Jangan kita pertikaikan bidang kuasa pengampunan YDPA (Yang diPertuan Agong) sehingga mencalarkan pandangan terhadap keluhuran institusi.
“Jika tidak berhati-hati, kenyataan tersebut bukan lagi sekadar serangan politik, tetapi juga boleh dianggap sebagai tindakan yang tidak menghormati institusi Raja dan undang-undang tertinggi negara,” katanya.
Adam turut menegaskan bahawa Datuk Seri Najib Razak didakwa dan disabitkan kesalahan pada zaman Tun Dr. Mahathir kemudian dijatuhkan hukuman penjara pada 2022 ketika zaman Datuk Sri Ismail Sabri yang kesemuanya melalui proses undang-undang.
“Namun yang terus diserang adalah pentadbiran Anwar Ibrahim.
“Hari ini, Datuk Seri Najib Razak dan (Datin Seri) Rosmah Mansor masih diberi peluang sewajarnya melalui proses undang-undang yang adil, tanpa sebarang campur tangan politik.
“Biar ada sejarah pertembungan politik yang runcing; keadilan berlandaskan hukum akan tetap ditegakkan hari ini; walaupun ia membawa risiko besar termasuk mencederakan reputasi politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Harapan khususnya dalam kalangan pendokong dan simpatisan kami,” katanya.
Adam turut menasihati Akmal Saleh agar menjadi contoh kepada prinsip perlembagaan kerana ia bukan berkenaan politik atau keperluan pihak tertentu, namun untuk Negara.
Terdahulu, Akmal mempersoalkan sama ada pengampunan Anwar pada tahun 2018 mengikuti prosedur yang betul atau tidak.
Hal itu susulan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) memperjelas permohonan Najib untuk tahanan rumah mesti melalui Lembaga Pengampunan mencetuskan maklum balas keras pimpinan UMNO.
Baca juga: