Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: Rapid KL mengingatkan orang ramai supaya tidak memarkir kenderaan di tepi jalan berhampiran stesen perkhidmatan rel kendalian syarikat itu.
Dalam kenyataan ringkas pada Isnin, perkhidmatan pengangkutan awam itu berkata, ia bagi mengelakkan kenderaan orang awam menghalang lalu lintas serta melengahkan pergerakan bas perantara ke stesen rel terbabit.
“Peringatan mesra, elakkan meletak kenderaan di tepi jalan kerana ia menghalang lalu lintas dan melengahkan bas,” katanya di laman X.
Rapid KL turut memuat naik foto memaparkan bas perantara ke stesen Transit Aliran Massa (MRT), yang dilihat sukar untuk melakukan perjalanan sambil dibantu oleh seorang polis bantuan.
Ini berikutan laluan jalan sempit disebabkan beberapa kenderaan milik orang awam diparkir di kawasan tersebut.
Rel kendalian Rapid KL termasuk MRT, Transit Aliran Ringan (LRT) dan monorel.
Terdahulu, operasi perkhidmatan rel Rapid KL akan dilanjutkan sehingga jam 3 pagi, manakala beberapa laluan bas terpilih akan beroperasi sehingga jam 3.30 pagi pada 1 Januari ini bersempena ambang tahun baharu 2025.
Menurut Prasana Malaysia Bhd (Prasarana), lanjutan operasi itu membabitkan 18 stesen rel, empat stesen Bus Rapid Transit (BRT) dan 20 laluan bas utama serta perantara Rapid KL.
Baca juga: