Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: Himpunan solidariti buat Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja mendapat perhatian daripada para penyokongnya, malah parti pembangkang turut dijangka turun padang bagi menyatakan sokongan terhadap bekas Perdana Menteri tersebut.
![](https://malaysiabangkit.com/wp-content/uploads/2024/10/WhatsApp-Image-2024-10-30-at-8.02.16-AM-1024x768.jpeg)
Sabtu lalu, tular di media sosial berhubung sepucuk surat PAS mengarah ahlinya berhimpun bagi ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ pada 6 Januari depan.
Surat itu dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kepada pesuruhjaya PAS Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang serta setiausaha sayap-sayap parti, yang mana perhimpunan tersebut akan diadakan mulai jam 9 pagi di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya.
Menurut surat itu, himpunan berkenaan diadakan bagi menunjukkan solidariti terhadap Najib, dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung titah adendum melibatkan tahanan rumah.
Menurut surat itu lagi, Takiyuddin turut menggesa ahli-ahli PAS menghadiri perhimpunan itu demi menunjukkan suatu isyarat nyata kepada kerajaan Madani tentang keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang dituntut rakyat.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan dilapor menetapkan 6 Januari depan untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum.
![](https://malaysiabangkit.com/wp-content/uploads/2024/10/Screen-Shot-2024-10-10-at-8.15.15-PM.png)
Tampil mengulas mengenai perkara itu, Dr Mohammad Tawfiq Yaakub beranggapan bahawa, PAS sengaja mengambil kesempatan atas isu politik bagi menarik sokongan orang Melayu dan penyokong Najib.
Malah, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM) itu menyifatkan PAS sebagai tidak ikhlas untuk membantu atau menggerakkan usaha bagi mendapatkan keadilan buat bekas Presiden UMNO itu.
“Apa yang dilakukan PAS sebaliknya adalah untuk memecahbelahkan kerajaan dan mewujudkan persoalan dalam kalangan ahli-ahli UMNO bahawa, pihak lain lebih ke hadapan untuk memperjuangkan nasib Najib berbanding UMNO.
“Parti itu juga dilihat seperti mahu cari publisiti dan umpama menangguk air yang keruh semata-mata untuk meningkatkan sokongan orang Melayu. Apatah lagi, kita akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Melaka serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
“Jadi, ini usaha PAS untuk meningkatkan momentum sokongan orang Melayu bermula dengan mengambil kesempatan terhadap isu Najib,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Isnin.
![](https://malaysiabangkit.com/wp-content/uploads/2024/12/WhatsApp-Image-2024-12-30-at-2.58.25-PM.jpeg)
Sementara itu, Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Rusdi Omar berkata, tindakan PAS tersebut dilihat seolah-olah tiada pendirian terhadap perjuangannya.
Ini kerana, katanya, parti itu ketika berada di blok kerajaan dan blok pembangkang membuat tanggapan berbeza terhadap Najib.
“Masa dalam kerajaan mereka (PAS) kata Najib sebaliknya, tetapi apabila bertindak sebagai pembangkang mereka cakap perkara berbeza pula terhadap Najib. Mereka contradict (bercanggah) dengan apa yang mereka suarakan.
![](https://malaysiabangkit.com/wp-content/uploads/2024/11/WhatsApp-Image-2024-11-28-at-10.42.11-AM-1024x578.jpeg)
“Ini juga sama seperti kes Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri). Sebelum ini, mereka membuat tanggapan berbeza ketika bersama Anwar, tetapi bila tidak bersama Anwar, lain pula yang mereka perkatakan. Saya tegaskan bahawa, sebuah parti yang perjuangkan Islam tidak sepatutnya gunakan Islam untuk kepentingan-kepentingan yang tidak sepatutnya,” katanya.
Dalam pada itu, Rusdi berkata, PAS sepatutnya perlu lebih ke hadapan dengan mengutamakan keperluan serta hak rakyat dan bukannya mendapatkan ‘political mileage’ melalui perkara yang tidak berkaitan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan permainan politik yang cuba dimainkan oleh parti itu boleh memecahkan masyarakat kerana kepentingan-kepentingan tertentu.
![](https://malaysiabangkit.com/wp-content/uploads/2024/12/Screen-Shot-2024-12-13-at-11.11.28-AM.png)
“Nak sifatkan ia sebagai parti yang kuat pun susah dan nak anggapnya sebagai parti yang lebih ke hadapan berbanding parti-parti lain pun masih belum dapat dilihat. Ia sebenarnya cuba menangguk air yang keruh.
“Sepatutnya sebelum Najib masuk perbicaraan beliau sudah dibantu. Sebab perbicaraan Najib juga sudah dilaksanakan ketika PAS dalam kerajaan.
“Kerajaan juga perlu memainkan peranan penting dan kalau perlu buat pengampunan baharu secepat mungkin untuk jernihkan keadaan,” katanya.
Baca juga: