Oleh: Fazleen Safina
PETALING JAYA: Kerajaan kekal meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion keseluruhannya pada tahun 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman itu ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2025 yang disiarkan di semua saluran media tempatan dan platform media sosial pada jam 9 malam Selasa.
“Alhamdulillah, peruntukan bagi STR dan SARA bagi tahun 2024 ditambah RM10 bilion yang merupakan jumlah yang terbesar dalam sejarah.
“Insha-Allah, pada tahun hadapan, kerajaan berhasrat untuk menambah peruntukan STR dan SARA sebanyak RM3 billion atau 30 peratus kepada RM13 bilion keseluruhannya,” katanya.
Ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Oktober lalu, Anwar mengumumkan perkara sama yang mana, peningkatan peruntukan itu akan terus memberi manfaat kepada sembilan juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara.
Katanya, seramai 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA bernilai RM100 sebulan berbanding 700,000 penerima tahun ini.
Menerusi amanat sama, Anwar berkata, fenomena kenaikan kos sara hidup harus ditangani melalui penganjuran Program Payung Rahmah di seluruh negara.
Justeru, katanya, pasukan pemantau digerakkan dengan aktif untuk memerhati, memantau dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang mencatut harga dengan sewenang-wenangnya.
Turut prihatin dengan bencana banjir yang berlaku mutakhir ini, Anwar berkata, kerajaan juga memberi jaminan bahawa, segala usaha akan terus dijalankan di semua negeri bagi memastikan bantuan sampai kepada mangsa terjejas dengan segera.
Katanya, kerja pemulihan dan bantuan secepat mungkin akan diselenggara oleh semua agensi kerajaan Pusat dan Persekutuan dengan kerjasama jentera negeri dan kerajaan tempatan atau jajahan.
“Operasi kesiapsiagaan sejak awal telah dirangka secara mampan agar dapat mengelak dari dampak yang buruk dari musibah tersebut.
“InsyaAllah, kita akan mampu mengharungi dan melindungi lebih banyak nyawa dari terkorban atau harta benda yang rosak,” ujarnya.
Bercakap mengenai perbelanjaan pembangunan negara, beliau berkata, kerajaan juga akan meneruskan projek tebatan banjir di kawasan yang berisiko tinggi walaupun akan memberi kesan dan dampak perbelanjaan tinggi.
Tumpuan lain adalah kepada prasarana asas seperti jalanraya, lebuhraya dan bekalan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 menjadi tugas besar buat negara menerusi tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, yang membawa seluruh kekuatan dan pasukan sebagai satu kesatuan.
Selain itu, katanya, peranan Malaysia juga perlu menjamin supaya pembangunan akan terus mampan,mengambil kira jurang perbezaan dan menangani permasalahan yang dihadapi oleh kelompok tersisih, miskin atau terpinggir.
“Jadi inilah maksud kita supaya ASEAN menikmati dan berkongsi limpahan kemakmuran secara adil tanpa ada kelompok atau wilayah yang disisihkan.
“Maka, kita harus bersama menjunjung prinsip ‘striving for excellence’, maknanya berusaha mencari jalan dan kaedah supaya mencatat kecemerlangan, mengukuh perpaduan di dalam negara kita dahulu.
“Sebelum kita melangkau ke rantau dan ke pasaran antarabangsa negara harus teratur dengan baik, tatakelola mesti dimantapkan, ketirisan dan rasuah mesti dibanteras, barulah kita akan perolehi penghormatan sebagai satu negara yang berdaulat, merdeka dan bertanggungjawab.
“Inilah penghormatan yang besar untuk negara dan peluang untuk membina lembaran baru dalam agenda serantau dan global yang terus mencabar, selagi beberapa isu pokok seperti pembantaian,
kezaliman, penindasan, penjajahan di Gaza dan beberapa kawasan yang mencabar selainnya,” katanya.
Baca juga: