Oleh: Haikal tajuddin
PETALING JAYA: Semua pegawai perkhidmatan awam diwajibkan untuk menghindari pelbagai bentuk pelakuan buruk dan mengelakkan diri dari menyebarkan berita palsu bagi menjaga integriti.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tindakan itu mampu mengekalkan nama baik penjawat awam khusus kakitangannya di mata masyarakat.
“Seorang pegawai awam tidak boleh bertindak atau terlibat menyebarkan berita palsu, membuat tohmahan atau fitnah yang melibatkan pegawai awam lain sehingga membelakangkan tugas awam demi mencapai kepentingan atau agenda peribadi.
“Perkara ini sememangnya jelas diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” kata pihak KKM.
Dalam kenyataan sama, pihak KKM turut berkongsi beberapa kes yang melibatkan pegawai awam yang sememangnya dilarang.

“Antaranya adalah berkaitan latar belakang kes. Sebagai contoh, seorang pegawai siasatan, Gred P53 dengan sengaja mengeluarkan kenyataan yang kurang sopan di media sosial dengan menggunakan perkataan ‘polis bodoh’ di media sosial, Facebook (15 Mac 2021).
“Jika didapati bersalah, pihak tersebut akan dihukum di bawah Seksyen 14, Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955. Ia juga akan dijatuhkan hukuman denda RM100 atau dipenjara selama 14 hari,” jelasnya.
Selain itu, perakuan ketua jabatan juga akan diambil, kronologi kes dipertimbangkan dan tindakan tatatertib di bawah peraturan 32 (2) (b), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dikenakan selain mengenakan hukuman buang kerja atau turun pangkat.
Tambahnya, keputusan oleh Lembaga Tatatertib akan diutarakan serta dipertimbangkan pegawai bagi memutus pegawai itu bersalah atau tidak. Jika benar, individu tersebut akan dikenakan hukuman amaran mengikut peraturan 38 (a), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Baca juga: