Mahkamah benarkan Vivy, suami dapat pasport tunaikan umrah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar untuk mendapatkan pasport antarabangsa buat sementara bagi membolehkan mereka menunaikan umrah.

Hakim Rosli Ahmad membenarkan pasport diserahkan kepada Vivy Sofinas, 36, dan Fadzaruddin, 35, menerusi peguamnya, selepas tiada bantahan daripada pihak pendakwaan terhadap permohonan itu.

“Permohonan pasport dibenarkan bermula pada 31 Disember (hari ini) dan dikembalikan kepada mahkamah pada 15 Januari,” katanya, memetik Berita Harian.

Terdahulu, peguam Ashok Athimulan yang mewakili pasangan suami isteri itu memohon pasport diserahkan sementara kepada anak guamnya yang akan bertolak ke Arab Saudi pada 5 Januari untuk menunaikan umrah.

“Kedua-dua anak guam akan pulang ke Malaysia pada 14 Januari, oleh itu pasport akan diserahkan semula kepada mahkamah pada 15 Januari.

“Saya mohon pasport diserahkan hari ini kerana ketiadaan pasport sukar untuk melakukan visa dan sebagainya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin tidak membantah permohonan itu.

Bagaimanapun, Wan Shaharuddin bertanya sama ada perancangan untuk menunaikan umrah dilakukan sebelum atau selepas pertuduhan dibuat.

Fadzaruddin bangun dan menjawab secara ringkas, perancangan ke Tanah Suci dilakukan selepas pertuduhan.

Pada 5 Disember lalu, Vivy dan Fadzaruddin Shah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan pecah amanah membabitkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) serta Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta, enam tahun lalu.

Pasangan suami isteri itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Rosli.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat bersama sebagai ejen iaitu Pengarah Fashion Valet Sdn Bhd (FV) dan di dalam kapasiti itu diamanahkan dengan harta iaitu dana pelaburan Khazanah dan PNB melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana pelaburan itu di mana dengan curangnya membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat FV kepada syarikat, 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah syarikat itu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Plaza Damansara Bukit Damansara, di sini, pada 21 Ogos 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan serta denda.

Rosli membenarkan Vivy dan Fadzaruddin masing-masing dijamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasangan itu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 22 Januari depan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat