SEOUL: Mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Yoon Suk-yeol yang digantung tugas kerana membuat pengisytiharan undang-undang tentera di Korea Selatan.
“Waran tangkap dan waran geledah terhadap Presiden Yoon Suk-yeol seperti diminta oleh Ibu Pejabat Siasatan Bersama dikeluarkan pagi tadi.
“Tiada jadual ditetapkan untuk prosiding akan datang,” kata Ibu Pejabat Siasatan Bersama dalam satu kenyataan, memetik laporan Al Jazeera.
Pejabat Penyiasatan Rasuah bagi Pegawai Berpangkat Tinggi (CIO) mengesahkan Mahkamah Daerah Barat Seoul telah meluluskan waran dimohon pasukan yang menyiasat kes Suk Yeol susulan perisytiharan singkat undang-undang tentera itu.
Ia adalah waran tangkap yang pertama dikeluarkan ke atas seorang Presiden masih memegang jawatan teraju itu di Korea Selatan, menurut laporan media tempatan.
Waran tangkap itu sah laku hingga 6 Januari depan dan sebaik saja ia dilaksanakan, Suk Yeol dijangka ditahan di Pusat Tahanan Seoul.
Menurut laporan Yonhap, mahkamah mengeluarkan waran itu dengan bersandarkan kemungkinan Suk Yeol tidak akan respons kepada panggilan, tanpa alasan munasabah, selain terdapat sebab kukuh untuk mengesyaki beliau melakukan jenayah. Bagaimanapun, pihak mahkamah enggan mengulas.
Hingga kini, Suk Yeol sudah tiga kali gagal respons kepada panggilan pasukan penyiasat untuk tujuan soal siasat selepas mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember lalu.
Ketika ini, beliau sedang berdepan siasatan jenayah kerana didakwa mengetuai pemberontakan. Pemberontakan merupakan satu daripada beberapa pertuduhan yang seseorang Presiden Korea Selatan tidak mempunyai imuniti terhadapnya.
Setakat ini, masih belum jelas bila dan bagaimana waran tangkap ke atas Suk Yeol itu akan dilaksanakan.
Perkhidmatan Keselamatan Presiden Korea Selatan dalam satu kenyataan, hari ini, berkata pihaknya akan menangani waran tangkap terbabit mengikut proses sewajarnya.
Dalam pada itu, mahkamah turut meluluskan waran geledah ke atas kediaman Suk Yeol, menurut CIO lagi.
Sebelum ini, polis mencuba tetapi gagal untuk menyerbu pejabat Presiden itu sebagai sebahagian daripada tindakan penyiasatan, kerana Perkhidmatan Keselamatan Presiden menyekat akses terbabit.
Baca juga: