Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Malaysia tidak akan rosak kerana lukisan satira, tetapi rosak kerana korupsi, dakwa parti MUDA.
Dakwaan tersebut sebagai respon kepada penahanan reman yang dibuat terhadap aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, Sabah malam tadi.
Fahmi Reza ditahan bagi membantu siasatan susulan 30 laporan polis berhubung karikatur penghinaan.
Menurut Setiausaha Agungnya, Amir Hadi berkata, MUDA amat kecewa dan mengutuk tindakan penahanan itu di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Yang perlu ditangkap bukan seorang aktivis yang melukis satira, tetapi mereka yang kini terpalit dengan skandal rasuah dan penyelewengan.
“MUDA menggesa agar moratorium dilaksana bagi menghentikan penggunaan Akta Hasutan dan #AktaSakitHati dan seterusnya memansuhkan undang-undang lapuk ini.
“Negara ini tidak akan rosak kerana lukisan satira dan suara rakyat, tetapi kerana korupsi,” dakwa MUDA dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, MUDA mendakwa Pakatan Harapan (PH) sudah lupa bagaimana undang-undang itu digunakan bagi menekan suara rakyat melawan kezaliman dan salah guna kuasa.
“Amatlah mengecewakan Fahmi disiasat di bawah kedua-dua akta ini yang mana ia telah dilawan oleh mereka yang berada di bangku kuasa. Mereka lupa bagaimana undang-undang ini telah digunakan bagi menekan suara rakyat melawan kezaliman dan salah guna kuasa.
“Ironinya, selepas mereka berkuasa, walaupun selama bertahun-tahun mereka berkempen untuk memansuhkan akta hasutan jika menang dalam pilihanraya, mereka pula yang terus menggunakan akta ini bagi mendiamkan suara rakyat.
“Tidakkah mereka malu, di dalam mereka melanggar janji, menahan aktivis, mereka masih berteriak ‘REFORMASI’?’ katanya lagi.
MUDA juga yakin bahawa semangat perjuangan Sabah melawan korupsi ini akan turut disambut di Semenanjung dan seluruh negara.
Baca juga: