Nasional

Belanjawan 2024: KKD harap rangkaian 5G negara diperkasa

Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata peruntukan yang dimohon kementeriannya dalam Belanjawan 2024 antara lain akan memberi fokus kepada pemerkasaan rangkaian 5G negara.

Beliau berkata, sekiranya peruntukan berkenaan diluluskan, lebih banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dapat memanfaatkan teknologi itu.

“Salah satu aspek yang penting ialah pelaksanaan 5G serta penerimaan dan penggunaan 5G oleh (pemain) industri.

“Saya harap (5G) ini salah satu daripada perkara dalam pertimbangan (Belanjawan 2024) yang kita pohon, dapat diluluskan. Ini penting untuk masa depan negara.

“Penggunaan rangkaian 5G setakat 30 September lepas telah mencecah 70.2 peratus kawasan berpenduduk,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Town Hall Bersama Penerbit Rancangan Televisyen di Angkasapuri, di Kuala Lumpur, malam tadi.

Sesi town hall itu dianjurkan Jabatan Penyiaran (RTM) sebagai platform untuk memahami cabaran dan isu industri penerbitan program televisyen tempatan.

Fahmi ketika berucap pada majlis itu berkata 44 syarikat telah menerima Surat Setuju Terima (SST) bagi penerbitan dan pembekalan program televisyen Swasta Baharu dan Sambung Siri untuk siaran di RTM, tahun depan.

“Saya yakin, semua syarikat itu bersedia memulakan penerbitan dalam tempoh yang ditetapkan RTM. Sudah pasti, RTM menitikberatkan kualiti penerbitan, mesej, konsep dan idea yang relevan dengan keperluan semasa.

“Sebagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang melaksanakan perolehan program televisyen, RTM telah membuat penambahbaikan berkaitan tatacara perolehan,” katanya.

Untuk tahun ini, kata Fahmi pembekalan program televisyen Swasta Baharu dan Sambung Siri melibatkan 44 tajuk pelbagai kategori bersiri dengan 44 pembekal tempatan.

Beliau berkata, peruntukan pembangunan dan mengurus bagi tujuan itu berjumlah hampir RM40 juta untuk memenuhi 714 jam siaran di RTM melalui empat saluran televisyen. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close