Oleh: Hanim Nadia
PERSOALAN siapa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya akhirnya terjawab apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Robert Douglas Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend dilantik memegang jawatan itu.
FAM dalam kenyataan berkata, pelantikan bekas pemain kebangsaan Kanada dan kelab Eintracht Frankfurt kerana beliau banyak terbabit dalam menerajui penubuhan dan pembangunan strategik kelab.
Beliau banyak terlibat dalam menerajui penubuhan dan pembangunan strategik kelab, termasuk pembangunan stadium dan pusat latihan, menyelia semua aspek operasi kelab, termasuk pembelian pemain, pelantikan kakitangan kejurulatihan, rundingan penajaan serta pengurusan kewangan yang membawa kepada peningkatan ketara terhadap nilai kelab terbabit.
“Pelbagai pengalaman yang dimiliki beliau ketika sebagai pemain serta dalam bidang pengurusan dan pentadbiran diharap mampu memberikan satu suntikan baharu dalam menguruskan perancangan dan program membabitkan pasukan kebangsaan terutama skuad senior dan B-23 kebangsaan pada tempoh permulaan ini.
“Rob Friend juga akan memastikan struktur organisasi baharu ini akan dilengkapi dengan tenaga kerja yang berkualiti dan berpengalaman dalam pelbagai aspek yang diperlukan demi menyediakan satu pasukan kebangsaan yang mantap.
“Beliau akan memulakan tugasan secara rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Januari 2025,” kata FAM pada Selasa.
Berasal dari Rosetown, Saskatchewan, Kanada, Rob Friend yang bakal berusia 44 tahun pada 23 Januari depan hadir dengan portfolio hebat menerusi pembabitannya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bola sepak selepas beliau bersara sebagai pemain pada Disember 2014.
Rob Friend juga pernah menerajui kepimpinan tertinggi pengurusan dan pentadbiran dua kelab yang beraksi di CPL iaitu sebagai CEO dan pengasas bersama Pacific FC dari 2019 hingga 2022 serta sebagai presiden dan pengasas bersama Vancouver FC dari 2022 hingga kini.
“Rob Friend beraksi di posisi penyerang dengan antara kelab yang pernah diwakilinya ialah kelab Norway, Moss FC dan Molde FK, kelab Jerman, Borussia Monchengladbach, Hertha Berlin, Eintracht Frankfurt dan 1860 Munich serta kelab Amerika Syarikat, LA Galaxy pada 2014.
“Dalam pasukan kebangsaan Kanada pula, beliau membuat sebanyak 32 penampilan antarabangsa bermula dari 2003 ketika berusia 22 tahun sehingga 2011 ketika beliau berusia 30 tahun.
“Rob Friend bermula sebagai rakan kongsi pengurusan di DRG Investment Group, sebuah syarikat pelaburan dan pengurusan hartanah dari 2014 sehingga kini.
“Kemudian dari 2017 hingga 2021, beliau menjadi pengasas Toca Football Canada, teknologi latihan khusus bola sepak dan keluar dengan penuh berjaya apabila peningkatan modal syarikat berkenaan mencecah AS$150 juta (RM669 juta),” kata FAM.
Baca juga: