Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Seorang anggota polis wanita ditahan selepas didapati positif dadah ketika serbuan Ops Hiburan sempena ambang sambutan Tahun Baharu di sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, ujian saringan awal yang dijalankan ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine, Ketamin dan Benzo.
Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menjalankan operasi itu pada jam 2 pagi sebelum menahan suspek berusia 26 tahun.
“Anggota terbabit sedang bercuti sebelum melaporkan diri di Kontinjen Johor dan dibawa ke IPD Wangsa Maju untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohamad Lazim berkata, suspek kini ditahan reman dua hari bermula Isnin.
Bagaimanapun, dia dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu laporan patalogi.
Kes itu menurutnya disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 dan diwajibkan pengawasan tidak kurang dua tahun atau tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Baca juga: