Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa supaya orang ramai tidak menyertai apa jua perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia demi menghormati titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan menjaga keselamatan awam.
“Semua rakyat digesa untuk sentiasa mendukung prinsip Rukun Negara khususnya undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan yang merupakan pancang kepada kemakmuran negara.
“PDRM menjunjung hormat dan menyusul titah YDPA berhubung kuasa prerogatif YDPA sepetimana termaktub dalam Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan yang jelas memandu semua pihak yang berhasrat untuk mendapatkan pengampunan perlu mengemukakan permohonan kepada Lembaga Pengampunan dan bukannya melalui perhimpunan atau apa jua saluran yang tidak mengikuti undang-undang,” katanya.
Pada 6 Januari nanti, satu perhimpunan akan diadakan di Istana Kehakiman, Putrajaya bagi memberi solidariti kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Himpunan itu dilaporkan akan disertai pelbagai parti kecuali Pakatan Harapan (PH) bagi menunjukkan solidariti bersama Najib Razak dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung titah adendum Agong.
Terdahulu, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan kuasa memberi ampun, tunda hukum, dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Kuasa prerogatif itu termaktub berdasarkan kepada peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Melalui kenyataan sama, Istana Negara berkata Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung, atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan terbabit.
Isu pengampunan banduan mencetus perdebatan susulan kes membabitkan Najib terutama dalam soal titah adendum untuk membolehkan bekas Presiden UMNO itu menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.
Baca juga: