KUALA LUMPUR: Sebarang pembangunan akan datang di Kampung Baru akan mengambil kira sejarah dan status tanahnya terlebih dahulu bagi memastikan ia kekal sebagai kampung Melayu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata pembangunan di Kampung Baru juga akan menjadi pemangkin kepada keseluruhan pembangunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Kita akan memastikan pembangunan masa depan di Kampung Baru mengambil kira sejarah serta status tanahnya untuk terus menjadikan kawasan ini kekal sebagai kampung Melayu.
“Seperti saya jelaskan sebelum ini, kita tidak akan mengenepikan pandangan penduduk setempat yang mahu ciri kemelayuan dikekalkan.
“Kampung Baru ini penuh dengan sejarah, terkenal dengan warisan seperti makanan. Akhirnya, kampung Baru akan menjadi ‘katalis’ kepada pembangunan keseluruhan Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur,” katanya, memetik Berita Harian selepas hadir Majlis Kesyukuran dan Bacaan Yasin sempena sambutan 125 tahun Kampong Bharu di Masjid Jamek Kampong Bharu pada Khamis malam.
Turut hadir, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Dr Zaliha berkata, pembangunan di kampung itu perlu dibuat dengan berhati-hati kerana tempoh 125 tahun bukan satu jangka masa pendek.
“Sudah tentu Kampung Baru ini ada sejarah dan saya sebagai menteri yang menerajui pembangunan Wilayah Persekutuan, saya akan memastikan pembangunan yang akan dilaksanakan pada masa hadapan tidak mengetepikan orang Melayu.
“Jadi kita kena berhati-hati dalam membuat pembangunan itu, termasuk pembangunan baharu supaya ciri kemelayuan dikekalkan.
“Tambahan pula, negara kita mempunyai banyak agenda sempena Kepengerusian ASEAN pada tahun ini dan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.