PM minta penjawat awam muhasabah dan perbaiki kelemahan

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur segelintir penjawat awam yang masih lagi di takuk yang sama biarpun sudah menjengah ke tahun baharu.

Beliau berkata amatlah perlu semua agensi dan jabatan terlibat menanam sifat tanggungjawab dalam diri demi rakyat.

“Saya nak tekankan mesej yang pertamanya bersyukur, keduanya menerima kenyataan kita mempunyai keupayaan untuk meningkatkan prestasi kita. Ketiganya, lakukanlah sebaik mungkin untuk memperbaiki prestasi.

“Dan kalau benar mahu berjaya, ia mesti bermula dari pimpinan di atas (Ketua Jabatan atau Ketua Unit) dengan tatakelola yang baik serta menghilangkan rasa gelojoh, tamak haloba, hasad dengki, cemburu dan menumpukan perhatian,” katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Dewan De’Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya hari ini.

Tambahnya, dalam menggalas tanggungjawab yang besar tidak semestinya seseorang itu sempurna menjalankan tanggungjawabnya.

“Percayalah kita belum lagi sempurna. Banyak kelemahan-kelemahan yang masih ada, masih ada ketirisan dan kebocoran, lambat dan malas, bekerja tidak mengikut masa, gaji penuh tapi kerja tidak penuh.

“Nilai sendiri dan perbaikilah. Akhirnya selain yang bertanggungjawab Allah SWT, rakyat juga yang akan menentukan,” ujarnya.

Sementara itu, Anwar turut menyatakan bahawa rakyat perlu menghargai penjawat awam kerana mempertahankan prestasi yang begitu memberangsangkan pada tahun lalu.

Katanya, beliau mahu penjawat awam Malaysia menjadi contoh perkhidmatan terbaik dalam kalangan negara yang sedang membangun.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat