Oleh: Norman Radzuan
PAS dimalukan orang Melayu di Kampung Baru. UMNO tarik diri ke himpunan hormati Agong. Adakah PAS teruskan ‘Himpunan Derhaka’?
Cita-cita PAS mahu menunggang UMNO musnah. PAS adalah parti yang mengungguli untuk menunggang Najib Razak dalam isu adendum ini.
Sedangkan UMNO dan BERSATU biasa-biasa sahaja kerana kedua parti ini tahu dalam Himpunan Solidariti Najib ini, ia hanya menguntungkan PAS dan yang rugi adalah UMNO dan BERSATU.
UMNO rugi kerana ia akan melibatkan perpecahan parti itu sendiri. Kedua UMNO dilihat menderhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong. Ketiga, UMNO parti yang ditolak orang Melayu kerana isu 1MDB iaitu rasuah terbesar dalam sejarah dunia, masih tidak dapat melakukan reformasikan parti tersebut.
BERSATU pula selain dilihat menderhaka kepada Raja, mereka tahu jika PAS dapat bekerjasama dengan UMNO, BERSATU akan ditinggalkan. Akhirnya BERSATU akan terkubur begitu sahaja. Jadi mengapa perlu sediakan jambatan untuk PAS mengkhianati mereka.
Dalam himpunan ini yang mendapat keuntungan adalah PAS yang menunggang UMNO, BERSATU dan Najib. Selepas agama dan bangsa ditunggang nampak gayanya PAS gagal menggunakan kuda-kudanya untuk ditunggang bagi mengaburi orang Melayu.
Asyraf Wajdi menjelaskan, UMNO menjunjung hormat titah Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan kuasa prerogatif baginda.
Beliau menegaskan sebagai satu-satunya parti yang konsisten memperjuangkan dan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan parti, UMNO sentiasa meletakkan keutamaan serta penghormatan tertinggi terhadap Seri Paduka Baginda.
Isunya sekarang adakah PAS mahu meneruskan ‘Himpunan Derhaka’ pada 6 hari bulan ini? Jika diteruskan bukan menghairankan bila mengenangkan tragedi kenderaan Sultan Perak pernah dihalang dari menuju istana oleh penyokong PAS.
Atau PAS mahu menumpang sekali menarik diri apabila dimalukan oleh orang Melayu di Masjid Jamek Kampung Baru. Sungguh memalukan tidak sampai 200 menyertai Himpunan Bangkit Ummah selepas solat Jumaat, semalam.
Selepas berminggu lamanya memainkan sentimen perkauman kepada dua Menteri DAP iaitu Hannah Yeoh dan Nga Kor Ming hingga menggunakan Mursyidul Am PAS untuk menyeru orang Melayu berhimpun, nyata ia gagal menarik minat orang Melayu.
Kenapa ia lesu? Ia petanda bahawa orang Melayu sudah bosan dengan perangai pemimpin PAS yang terus menganggu gugat keharmonian negara. Sikap hipokrit PAS dilihat tidak mencerminkan Islam yang sebenar.
Hari-hari PAS mainkan sentimen kebencian kaum terutama bangsa Cina dari DAP. Sampai bila sedangkan kaum Cina sudah ratusan tahun di sini?
Selepas di Nenggiri, Mahkota, semalam orang-orang Melayu memberi ‘signal’ kepada PAS bahawa mereka menolak politik sempit yang hanya membawa kehancuran buat negara.
Sedangkan terutama kakitangan awam, baru sahaja menikmati kenaikan gaji. Daripada maklum balas yang saya terima, rata-rata kakitangan awam sangat bergembira dengan apa yang telah dilakukan PMX.
Orang Melayu akhirnya sedar selama hari ini PAS menipu mereka hanya untuk kepentingan politik. Sedangkan di bawah kerajaan Madani ini begitu banyak dinikmati rakyat dari nelayan, petani hingga ke penjawat-penjawat awam.
Isu adendum ini sebenarnya baru sahaja dua tahun lalu Perdana Menteri ketika itu daripada UMNO, Ismail Sabri Yaakob berkata, isu pengampunan Najib bukan kuasa kerajaan, bukan di tangan UMNO. Rakyat kena hormati apa sahaja keputusan mahkamah.
Apa yang dikata oleh Ismail sama sahaja diucapkan oleh Anwar ketika di Parlimen. Sedangkan ucapan Ismail itu ketika PAS menjadi kerajaan bersama UMNO.
Sedangkan Najib masih ada ruang untuk pengampunan daripada Lembaga Pengampunan. Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara bertarikh 3 Januari 2025 jelas menyatakan tata cara pengampunan terhadap seorang pesalah/banduan dan ditegaskan kuasa dan keistimewaan Agong berkaitan pengampunan.
Daripada kenyataan tersebut jelas Sultan Ibrahim bersedia menerima permohonan pengampunan daripada banduan dibawa ke Lembaga Pengampunan.
Ada saluran yang betul kenapa nak memperbodohkan orang Melayu ke himpunan tersebut? Sebab tiket dah beli, bas pun dah disewa… teruskan sahaja ke IOI Mall atau ke Alamanda. Membazir itu satu amalan syaitan.
Penulis adalah bekas pengamal media dan kini menganalisis senario politik tanah air.