Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Peguam yang terkenal dengan gelaran ‘Peguam Kotak Pensil’ iaitu Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar dilaporkan sedang menerima rawatan di hospital.
Menurut perkongsian anaknya di akaun Tiktok @evazarina, dia memohon orang ramai untuk mendoakan kesembuhan buat ayahnya.
“Datuk positif Influenza B, tetapi dah semakin ok. InsyaAllah jika semua berjalan lancar, Tokmat (Datuk Zaharil) akan ‘discharge’ esok. Terima kasih semua yang bertanya khabar dan mendoakan.
“Saya mohon kebaikan semua untuk mendoakan kesihatan bapa saya dan memberikan ruang kepadanya fokus sepenuhnya kepada rawatan beliau,” katanya.
Ahmad Zaharil dilaporkan dikejarkan ke hospital akibat demam pada Jumaat lalu dan masih menjalani rawatan hingga kini.
Eva Zarina turut memohon pertimbangan anak guam kepada ayahnya supaya dapat memberi ruang dia menjalani rawatan dan akan menghubungi mereka bagi pengurusan kes mahkamah apabila kembali stabil.
Ahmad Zaharil pernah tular apabila kisahnya sebagai peguam bela kepada seorang wanita India yang ditangkap dan dituduh di mahkamah kerana mencuri sebuah kotak pensil pada 1998 dikongsi melalui media sosial pada 2023.
Tindakan wanita itu dibuat kerana ingin memberikan hadiah kotak pensil berharga RM18 kepada anaknya yang berjaya mendapat tempat pertama di sekolah disebabkan kesempitan wang.
Ahmad Zaharil yang mengetahui kisah itu segera mewakili wanita terbabit sebagai peguam bela dan berjaya mendapatkan hukuman ringan bagi mengelak wanita itu dipenjara yang boleh menyebabkan anaknya terabai.
Tanpa disangka pada 2017, Ahmad Zaharil ditegur seorang pemuda yang juga seorang peguam iaitu anak kepada wanita yang dibelanya kerana mencuri kotak pensil.
Beliau juga pernah mewakili bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah atas dakwaan mengedar kanabis seberat 374.6 gram pada tahun lalu dengan mahkamah melepas dan membebaskan Ismahalil atas pertuduhan mengedar dadah dua tahun lalu.
Baca juga: